Rabu, 27 Mac 2013

Kini aku bahagia selepas 3 kali kahwin





BERPELUANG berbual dengan wanita lebih separuh abad ini, ternyata terlalu banyak pahit maung yang terpaksa dihadapinya dalam rumah tangga sebelum akhir berpeluang mengecap kebahagiaan.
Hanya mahu dikenali sebagai Saadiah, 66, dia tidak keberatan berkongsi cerita hidupnya jika kisahnya boleh dijadikan teladan pasangan muda hari ini.

Kini walaupun sudah hampir dua tahun suami ketiga yang dikahwini ketika usia mencecah 40 tahun telah pergi meninggalkannya, kenangan indah mereka berdua sentiasa di hati biarpun dia cuma isteri kedua.
Tempoh 14 tahun bergelar isteri kedua, Saadiah tidak pernah terasa disisihkan, malah suaminya sentiasa berusaha untuk berlaku adil dan membahagiakan rumah tangga mereka.
Bercerita lanjut tentang kisah pahit dan manis hidupnya dalam mencari kebahagiaan, dia mengakui pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa dilaluinya sebelum benar-benar mengecap bahagia bersama-sama suami ketiganya.

Suami pertama yang dikahwini ketika Saadiah berumur 17 tahun adalah seorang polis. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama 18 bulan apabila suaminya terbunuh ketika menentang komunis di Sarawak.
“Ketika itu, perasaan sedih tidak dapat dibendung kerana dalam masa yang sama saya sedang mengandung lapan bulan anak sulong kami. Namun, ketentuan itu diterima dengan hati yang terbuka," katanya.
Tambahnya, tempoh 10 tahun dia hidup sebagai ibu tunggal membesarkan anaknya seorang diri dengan melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup.
“Pelbagai pekerjaan saya lakukan ketika itu untuk menyara hidup seperti berniaga secara kecil-kecilan dan menjadi pembantu kantin di asrama badan beruniform di Kuala Lumpur.
“Ketika itu, segala susah dan senang sebagai ibu tunggal ditanggung seorang diri, memandangkan selepas kematian suami tiada keluarga yang tampil membantu," katanya.
Selepas 10 tahun menjanda dan hidup keseorangan, Saadiah telah bertemu jodoh buat kali kedua juga dengan seorang anggota polis yang kebetulan kenalan yang dikenali semasa arwah suami pertama masih hidup lagi.

Ujarnya, tiada siapa dapat melawan ketentuan Ilahi, apabila perkahwinan dengan Ramli (bukan nama sebenar ) hanya mampu bertahan selama 12 tahun.
“Hasil perkongsian kasih ini, kami telah dikurniakan tiga cahaya mata comel. Di awal perkahwinan, Ramli seorang suami yang baik dan bertanggungjawab.
“ Namun, lama-kelamaan beliau semakin alpa dan lupa tanggungjawabnya memberikan nafkah kepada kami sekeluarga.

“Oleh kerana ketika itu saya bekerja, maka segala urusan dan perbelanjaan rumah saya tanggung sepenuhnya.
“Tidak hanya mengabaikan nafkah, malah Ramli juga menjadi seorang yang panas baran dan kaki pukul apabila berlaku perkara yang tidak disukainya," kata Saadiah.

Tambahnya, beberapa kali juga apabila mereka bertengkar Ramli akan melemparkan perkakas rumah sambil memaki hamun dengan perkataan yang menjijikkan.
“Barannya itu semakin menjadi-jadi terutamanya jika dia mempunyai masalah di pejabat. Namun, kerana sayangkan perhubungan tersebut dan mengenangkan anak-anak yang semakin membesar saya berusaha untuk bersabar dengan kerenah tersebut.

“Sehinggalah apabila mengetahui Ramli telah berkahwin lain, saya mengambil keputusan untuk berpisah dengannya. Akur dengan keputusan itu, Ramli telah menceraikan saya dengan talak satu," katanya.
Saadiah berkata, selepas kegagalan kali kedua dalam rumah tangga, dia tidak pernah serik untuk berkahwin lagi, malah sentiasa berdoa dikurniakan seorang suami yang baik dan bertanggungjawab.
“Dua tahun selepas itu, tanpa diduga saya telah berkahwin dengan Rahman (bukan nama sebenar), seorang lelaki yang juga rakan yang bekerja di tempat sama.
“Hati saya terbuka untuk menerima lamaran tersebut kerana saya yakin akan bahagia menjadi isterinya kerana perwatakan Rahman yang lembut dan bertanggungjawab.
“Mulanya hubungan kami berdua biasa-biasa sahaja sebagai rakan sekerja. Seringkali juga ketika ada masalah dengan bekas suami kedua, saya banyak mengadu dan mendapatkan nasihat daripadanya.
“Tidak terdetik suatu hari nanti saya akan berkahwin dengannya, kerana ketika itu saya tahu dia bahagia dengan isteri dan anak-anaknya," kata Saadiah.

Ujarnya lagi, perkahwinan dengan Rahman mendapat restu dari isteri dan anak-anaknya.
Walaupun menjadi isteri kedua, Saadiah benar-benar bahagia kerana suaminya sentiasa bersikap adil dan banyak membimbing bagi mendekatkan lagi diri pada Allah SWT.
“Saya berpeluang menjadi isteri keduanya selama 14 tahun sebelum dia meninggal dunia. Perasaan bahagia dan bersyukur dipanjatkan kepada Ilahi kerana dikurniakan seorang suami yang baik walaupun ketika usia saya hampir senja.

“Sehingga kini, walaupun sudah dua tahun arwah meninggalkan kami sekeluarga, tetapi hubungan dengan isteri pertama dan anak-anak tetap baik dan mesra.
“Buktinya, pada tahun lepas kami bersama-sama menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci," katanya.



sumber : Utusan



Tiada ulasan:

 
All right reserved by seuleira @copyright protected